“Kalau melabur dalam unit trust duit saya boleh hilang tak?”
Inilah soalan killer yang paling banyak disoal kepada saya oleh mereka yang berminat melabur dalam unit amanah Public Mutual.
Terus terang saya katakan yang jawapan saya adalah sememangnya ADA!
Dalam pelaburan sememangnya melibatkan risiko samada tinggi atau rendah itu pilihan anda.
Risiko rendah, rendah la pulangannya. Berani ambil risiko tinggi maka tinggilah pula pulangan yang anda bakal perolehi.
Pulangan tinggi dengan risiko rendah sebenarnya adalah risiko paling tinggi. Sebabnya ia adalah scam kerana tidak wujud pelaburan yang sah.
Tapi bagaimana duit pelaburan anda boleh hilang yang menyebabkan anda rugi.
Anda lihat sendiri apakah maksud saya memang ada risiko hilang duit.
Dan adakah sekiranya pelaburan anda menjadi kurang tu maknanya duit pelaburan anda hilang sebenarnya?
Teruskan membaca..
Artikel berkaitan:
- Bagaimana Cara Melabur Dalam Unit Amanah Public Mutual?
- 20 Tips Melabur Dalam Unit Trust Public Mutual
Bagaimana Duit Pelaburan Boleh Rugi Dalam Unit Trust?
Setiap dana melabur dalam pasaran yang berbeza mengikut lokasi geografi dan sektor.
Sebagai contoh amnya dana Asia melabur dalam pasaran ekonomi negara Asia dan dana teknologi lebih memfokuskan kepada sektor teknologi.
Oleh itu, setiap dana akan mengalami kesan samada naik atau turun bergantung kepada pasaran ekonomi dan sektor setiap lokasi pelaburan.
Sekiranya ekonomi Amerika Syarikat mengalami penurunan maka dana yang melabur dalam pasaran ekonomi Amerika Syarikat juga akan ikut turun secara amnya.
Begitu juga jika dana melabur dalam dana dalam negara sahaja.
Ekonomi dalam negara kita meningkat maka harga dana pun akan meningkat.
Betulkah Anda Rugi Kalau Dana Menurun?
Nak pastikan anda rugi atau tidak anda kena fahamkan dahulu apa itu Unrealized Return dan Realized Return.
- Unrealized Return:
- Merujuk kepada jumlah keuntungan atau kerugian atas kertas dalam pelaburan yang anda beli tetapi belum dijual.
- Realized Return:
- Merujuk kepada jumlah keuntungan atau kerugian dalam pelaburan yang nyata setelah anda menjual pelaburan anda.
Unrealized Return dan Realized Return ini anda akan nampak dalam financial statement anda sekiranya anda melabur dalam unit amanah.
Sebagai analogi, anda bayangkan anda membeli sebuah rumah banglo 5 tahun lalu berharga RM800,000.
Tahun ini anda lihat rumah anda cuma bernilai RM750,000.
Jika dilihat sememangnya anda mengalami kerugian RM50,000 tetapi ini adalah kerugian atas kertas yang dinamakan Unrealized Return sebab anda belum lagi menjual aset anda.
Begitu juga sebaliknya jika nilai rumah anda meningkat ke RM850,000 maka anda mempunyai Unrealized Return sebanyak RM50,000.
Andainya anda menjual banglo pada harga RM750,000 maka secara langsung anda telah menyatakan yang anda rugi RM50,000 hasil pelaburan anda.
Jika anda jual pada harga RM850,000 pula anda telah menyatakan yang anda untung RM50,000 hasil pelaburan anda.
Apa yang anda kena tahu adalah aset seperti pelaburan seperti rumah, saham atau unit amanah ini mempunyai pusingan.
Ada masa turun dan naik mengikut pusingan. Jadi kesilapan ramai orang adalah menjual pada masa turun.
Oleh itu adakah anda sebenarnya rugi atau untung sekiranya pelaburan anda masih dalam Unrealized?
Sedangkan sebenarnya anda belum lagi mengalami kerugian atau keuntungan yang nyata dalam pelaburan anda?
Kenapa Perlu Risau Harga Dana Menurun?
Perkara penting yang anda perlu faham tentang pelaburan unit amanah ini adalah anda sebenarnya membeli unit dalam dana.
Harga seunit dalam dana unit amanah berubah setiap hari.
Namun jumlah unit yang anda beli tidak akan berubah selagi anda tidak menjual unit anda.
Jika anda lihat gambarajah di atas, dengan modal RM20,000 anda membeli sebanyak 40,000 unit dengan harga 50 sen seunit dalam dana unit amanah pada tahun 2017 sebagai contoh.
Sekiranya pada tahun 2020 harga seunit turun kepada 30 sen seunit, maka Unrealized Return anda ataupun kerugian atas kertas adalah sebanyak RM8,000.
Ingat! Ini adalah Unrealized Loss bukan Realized Loss!
Selagi anda tak jual unit yang anda ada, maka ia belum diisytiharkan sebagai kerugian yang sebenar atau Realized Loss.
Andaikan pada tahun 2022 harga seunit dana yang sama meningkat ke 65 sen seunit, maka Unrealized Profit anda pun berubah kepada RM6,000 pada waktu ini.
Jika anda jual semua unit yang anda ada pada masa ini maka anda perolehi RM6,000 pulangan. Terpulang pada anda masa ni.
Selagi anda tak jual unit yang anda ada daripada tahun 2017 maka jumlah unit yang anda pegang adalah sama tidak berubah.
Yang berubah hanya harga seunit setiap dana dimana anda melabur.
Matlamat utama kita melabur dalam unit amanah adalah untuk mengumpulkan sebanyak unit yang boleh kita beli kerana setiap keuntungan dikira berdasarkan unit yang kita pegang.
Sebagai contoh seperti gambarajah di atas, anda membeli dana ABC pada harga RM0.50 seunit dan menjual setelah harga seunit mencecah RM0.52 seunit.
Jadi anda mendapat pulangan bagi seunit sebanyak RM0.02 atau 2 sen bagi setiap unit.
Perbezaan di atas menunjukkan berapa pulangan yang anda dapat mengikut jumlah unit yang anda ada.
1000 unit akan memberikan anda pulangan sebanyak RM2 dan 100,000 unit pula memberi pulangan sebanyak RM2000.
Ini bermakna lebih banyak unit yang anda kumpulkan maka lebih banyak perubahan pada pulangan yang anda bakal perolehi.
Sebab tu lah kita nak beli sebanyak mungkin unit dan bukan kita nak beli nilai seunit.
Bagaimana Cara Nak Kumpul Banyak Unit?
Bila anda rasa masa paling sesuai nak pegi shopping baju? Mesti masa musim perayaan kan?
Tak kisah perayaan apa sebab musim perayaan ni lah harga pakaian dan macam-macam lagi tengah diskaun.
Bukan saja pakaian, tapi boleh kata benda yang tak berkaitan perayaan pun akan diskaun.
Selepas musim perayaan anda akan tengok harga akan kembali normal. Inilah yang dikatakan cycle atau pusingan.
Setiap kali musim perayaan harga akan turun harga dan selepas tu akan kembali pada harga normal.
Begitu juga dalam unit amanah, saham dan mungkin juga hartanah ia juga mempunyai cycle.
Pada waktu ekonomi tengah rancak anda akan lihat harga unit amanah, saham dan hartanah ini akan naik dan waktu ekonomi merosot ia akan down.
Jadi waktu ekonomi down inilah masa terbaik untuk kita melabur sebab masa ni harga seunit biasanya akan turun atau kita panggil discounted.
Misalnya anda beli dana XYZ sebelum ini dengan harga RM1 seunit.
Masa ekonomi tengah down harga seunit dana XYZ turun ke RM0.50 seunit. Maka dengan RM1 anda dapat beli sebanyak 2 unit.
Begitulah cara kita nak beli unit banyak. Kita beli masa harga seunit tengah rendah.
Lagi rendah harga seunit lagi jimat kos kita untuk membeli seunit saham atau dana dan lebih mudah kita kumpul lebih banyak unit.
Risau Harga Dana Turun Tak Naik
Ok ini merupakan risiko yang anda akan hadapi dalam pelaburan unit amanah mahupun saham.
Sebab tu saya akan ceritakan kepada client saya tentang risiko ini dan bertanya samada mereka sanggup atau tidak kalau senario ni terjadi pada pelaburan mereka.
Tetapi selepas mendengar penerangan saya kebanyakannya faham akan risiko dan mekanisma pelaburan dalam unit amanah.
Kebanyakan yang ingin melabur jangkamasa panjang tak kisah akan risiko ini sebab mereka dah tahu strategi melabur yang betul dalam unit amanah.
Bagi client yang tak sanggup pula saya nasihatkan jangan melabur dalam dana yang risiko tinggi. Sebab tak guna nak pulangan tinggi tapi tak sanggup ambil risiko.
Jadi lebih baik ambil risiko rendah tapi pulangan sederhana.
Kenapa saya tak risau ekonomi tengah down?
Sebab saya faham yang ekonomi kita ada cycle atau pusingan seperti yang saya katakan sebelum ini.
Ini perkara normal dalam pasaran saham. Jadi daripada ini saya ambil peluang. Masa harga tengah down kita beli lah unit yang mampu kita beli.
Dalam erti kata lain, masa ekonomi tengah down kita investlah sebab masa ni harga tengah diskaun!
Setiap dana melabur dalam beberapa syarikat. Bukan hanya pada 1 syarikat.
Oleh itu, sekiranya dana XYZ dilaburkan dalam 20 syarikat, dan 2 syarikat tak buat untung tetapi ada lagi 18 syarikat lagi yang mungkin boleh buat keuntungan.
Jadi anda tak perlu risau sekiranya takut harga dana tak naik kerana mungkin mengambil masa yang lama untuk naik.
Jadi sementara harga masih tengah murah apa salahnya anda membeli setiap unit yang ada pada harga murah dan kumpulkan untuk jangkamasa panjang nanti.
Bagaimana Mengelak Kerugian Duit Melabur Dalam Unit Trust?
Ada banyak cara untuk mengelak anda rugi dalam pelaburan unit amanah dan sebenarnya Unit Trust Consultant anda pun pasti akan menasihatkan anda sebelum ini.
Ini nasihat saya kepada anda sekiranya anda tak nak rugi melabur dalam unit trust.
1. Jangan “Withdraw” Duit Masa Dana Tengah Down
Perkara ini selalu saya nasihatkan pada client saya.
Elakkan jual aset anda masa harga tengah down! Just biarkan saja tunggu dia naik semula.
Masa ni memang lah harga dana akan rendah jadi buat apa kita jual masa ni?
Sebaiknya anda hold dulu simpan atau anda pindah dulu ke dana lain yang lebih selamat contohnya dana bon atau pasaran kewangan (money market).
Nak buat keuntungan lebih baik lagi, anda tambah pelaburan anda masa harga tengah down ni sekiranya anda ada lebihan duit.
Andainya anda ada simpanan dalam dana bon atau pasaran kewangan (money market) sedia ada boleh la anda pindahkan ke dana pelaburan anda yang tengah down tu untuk top up.
Bincanglah dengan Unit Trust Consultant anda untuk buat asset allocation dan sentiasa buat portfolio rebalancing sekiranya memerlukan.
Saya percaya Unit Trust Consultant anda telah memberi cadangan strategi pelaburan mengikut kesesuaian anda jadi apa yang anda perlu buat adalah ikut strategi tersebut.
Anda perlu sabar kerana pelaburan dalam unit trust ini adalah untuk jangkamasa panjang.
Jadi jangan bertindak terburu-buru. Trust the system!
2. Diversify
Ini adalah perkara penting untuk mengelakkan anda hilang kesemua pelaburan anda dalam instrumen pelaburan mana-mana pun.
Mesti dah banyak kali dengar atau lihat quote di atas.
Memang kita nakkan pelaburan yang dapat memberikan pulangan yang terbaik.
Risikonya adalah kita tak tahu sampai bila pelaburan kita tu adalah yang terbaik dan dapat memberikan pulangan yang tinggi sepanjang masa.
Oleh itu, cara paling selamat adalah kita bahagikan aset pelaburan kita kepada beberapa jenis pelaburan.
Kelebihan Unit Trust Public Mutual adalah terdapat banyak dana yang anda boleh pilih.
Ini secara langsung membolehkan anda menggunakan kemudahan ini untuk diversify pelaburan anda kepada beberapa jenis dana dengan hanya menggunakan satu platform sahaja.
Lebih-lebih lagi ia memberikan anda kemudahan online untuk membuat transaksi tanpa anda perlu pergi ke pejabat cawangan.
Perbezaan Pelaburan Guna Kaedah Diversification
Jenis Dana | Kadar Risiko (Tahap) | Anggaran Kadar Pulangan Purata (%) Tahunan |
Ekuiti/Aset campuran (EQ/MA) | Paling tinggi (4-5) | 8 – 12 |
Bon (BO) | Sederhana (3) | 4 – 6 |
Pasaran Kewangan (MM) | Rendah (1-2) | 1 – 3 |
Anda lihat 2 portfolio di bawah sebagai contoh membezakan antara portfolio yang menggunakan kaedah diversification dan tidak menggunakan kaedah diversification.
Kita gunakan kadar pulangan anggaran di dalam jadual di atas sebagai rujukan.
Portfolio X:
Jenis Dana | Nama Dana | Prinsipal (RM) | % Pulangan | Unrealized Return (RM) |
EQ/MA | Dana A | 35,000 | -5% | -1750 |
EQ/MA | Dana B | 35,000 | 8% | 2800 |
BO | Dana C | 15,000 | 5% | 750 |
MM | Dana D | 10,000 | 2.8% | 280 |
Jumlah | 100,000 | 10.8% | 2080 | |
Baki | 102,080 |
Portfolio X ini menggunakan kaedah diversification dengan membahagikan pelaburan kepada 4 jenis dana yang berbeza risiko.
Oleh kerana dana ekuiti dan aset campuran (EQ/MA) mampu memberikan pulangan lebih tinggi, maka lebih banyak bahagian ditumpukan kepada dana ekuiti iaitu Dana A dan Dana B sebanyak RM35,000 setiap satu.
Keseluruhan pelaburan dalam portfolio X ini adalah berjumlah RM100,000.
Portfolio Y:
Jenis Dana | Nama Dana | Prinsipal (RM) | % Pulangan | Unrealized Return (RM) |
EQ/MA | Dana A | 100,000 | -5% | -5,000 |
Jumlah | 100,000 | -5% | -5,000 | |
Baki | 95,000 |
Bagi portfolio Y pula, keseluruhan pelaburan dilaburkan dalam satu dana sahaja iaitu Dana A sebanyak RM100,000.
Jika anda lihat kedua-dua portfolio ini melaburkan dalam dana yang sama iaitu Dana A.
Apa yang membezakan keduanya adalah portfolio X membahagikan risiko kepada beberapa jenis dana risiko rendah sebagai backup.
Oleh itu potensi untuk rugi seratus peratus secara langsung akan menurun bagi portfolio X berbanding portfolio Y.
Portfolio Y pula merisikokan 100% pelaburan ke dalam satu dana sahaja.
Walaupun Dana A memberikan pulangan sebanyak -5% pada tahun itu, namun oleh kerana portfolio X tidak merisikokan keseluruhan aset pelaburan ke dalam Dana A maka ia tidak memberikan kesan yang tinggi kepada portfolio tersebut.
Malahan, oleh kerana portfolio X ada melaburkan sebahagian aset ke dalam Dana B, C dan D yang memberikan pulangan jadi ini dapat menggantikan pulangan negatif daripada Dana A.
Jika dibandingkan dengan portfolio Y pula, keseluruhan aset dilaburkan dalam satu dana sahaja maka keseluruhan aset pelaburannya akan terkesan dan akhirnya akan memberikan pulangan negatif bagi keseluruhan aset.
Atas sebab itulah dalam pelaburan jangan sekali-kali merisikokan semua aset anda dalam satu instrumen sahaja.
Walaupun instrumen itu dapat memberikan pulangan yang tinggi tetapi ia tetap berisiko untuk memberikan anda kerugian jika tidak berhati-hati.
3. Kaedah Ringgit Cost Averaging
Bagi yang tak tahan hati ataupun yang tidak punya modal besar, ini merupakan cara paling selamat untuk anda melabur bagi jangkamasa panjang.
Tapi ia memerlukan disiplin, komitmen dan kesabaran yang berpanjangan kalau betul inginkan pulangan yang kompetitif.
Kaedah ini memerlukan anda melabur dengan jumlah tetap secara berkala.
Kelebihan kaedah ini adalah ia tidak memerlukan modal yang besar.
Ada yang bermula dengan hanya RM100 sebulan sehingga RM5,000 sebulan mengikut kemampuan dan juga matlamat yang ingin dicapai.
Ringgit Cost Averaging (RCA) ini memanfaatkan pelabur dimana pulangan yang diperolehi akan berganda secara jangkamasa lama.
Ini dimanakan sebagai Compounding Effect ataupun Compounding Interest.
Jika anda lihat gambarajah di atas, perbezaan tempoh antara ketiga gambarajah adalah sebanyak 5 tahun.
Dengan menggunakan Compound Interest Financial Calculator, kita dapat anggarkan jumlah pulangan bagi setiap kategori untuk 10, 15 dan 20 tahun dengan andaian ia memberikan kadar pulangan purata sebanyak 8% setahun.
Merujuk kepada Total Interest dalam gambarajah di atas, dapat anda lihat semakin lama kita melabur maka semakin berganda kadar pulangan yang kita akan perolehi.
Kaedah ini amat sesuai bagi mereka yang ingin menabung untuk matlamat jangkamasa panjang seperti menabung untuk pendidikan anak ke Universiti, tabung persaraan dan apa juga matlamat jangka panjang yang anda mahukan.
Oleh itu, bagi golongan muda, ini adalah kaedah melabur yang paling berkesan dan efisien untuk menjamin masa depan anda di hari tua.
Artikel berkaitan:
4. Simpanan Kecemasan Kena Ada Terlebih Dahulu
Perkara ni selalu ramai yang anggap tak penting.
Mungkin ramai menyangka yang dengan melabur dahulu mampu berikan mereka simpanan dengan cepat.
Tapi kejadiannya, orang yang melabur tanpa ada simpanan kecemasan ni selalunya akan mengeluarkan duit pelaburan mereka lebih awal.
Sebabnya, jika ada sebarang kecemasan terjadi mereka ini tiada punca simpanan melainkan duit yang mereka dah laburkan.
Jadi akhirnya mereka terpaksa mengeluarkan duit pelaburan mereka untuk digunakan kepada kecemasan.
Sebab itu saya selalu tanyakan kepada bakal client saya sekiranya mereka ada simpanan untuk kecemasan.
Sekiranya belum ada, saya akan minta mereka simpan dulu untuk tabung kecemasan mereka sebelum mereka mula melabur.
Andai pelabur saya melabur RM10,000 tanpa ada simpanan kecemasan, saya akan memperuntukkan sedikit daripada modal pelaburannya ini untuk simpanan kecemasannya dalam dana Simpanan Kecemasan Public Mutual.
Andai client saya perlukan duit untuk kecemasan dia boleh keluarkan simpanan kecemasan ini agar pelaburan lain tidak terganggu.
Artikel berkaitan:
5. Kenali Risk Appetite Anda Sebelum Melabur
Tepuk dada tanya selera sendiri dahulu sebelum mula melabur.
Jangan ingat melabur ni hanya tunjuk untung setiap hari!
Dalam pelaburan memang ada naik dan turun.
Yang membezakan pelabur yang bijak dengan yang kurang bijak adalah cara mereka menguruskan risiko dalam melabur.
Sebab tu anda kena tahu risk appetite anda sendiri sebelum melabur.
Risk appetite tu bermaksud berapa kadar risiko yang anda sanggup tempuhi dalam melabur untuk mencapai matlamat pulangan yang anda inginkan.
Sebagai contoh melabur dalam dana ekuiti merupakan dana berisiko tinggi.
Dana ini mampu memberikan pulangan yang lebih tinggi tetapi ia juga berkemungkinan memberikan pulangan negatif sementara pada masa-masa tertentu.
Pelabur yang tidak sanggup untuk melihat pelaburan mereka negatif tidak sesuai untuk melabur dalam dana ini kerana ia akan mengganggu emosi mereka dan akhirnya menyebabkan mereka keluar terlalu awal.
Sedangkan pelabur yang berpengalaman dan tahu peluang melabur dalam unit amanah akan bertahan pada masa ini dan kebanyakannya akan menambah pelaburan.
Ini bermakna mereka sanggup untuk merisikokan pelaburan mereka untuk mencapai matlamat pelaburan yang mereka inginkan suatu hari nanti.
Bagi pelabur yang tidak sanggup untuk mengambil risiko, sebaiknya melaburlah dalam dana yang kurang berisiko seperti Dana Bon atau Dana Pasaran Kewangan yang bersifat berisiko rendah.
Tetapi kena ingat risiko rendah ni jangan pula expect pulangan yang tinggi.
Jadi sebelum anda melabur tanya diri anda dahulu.
Sanggupkah anda lihat pelaburan anda negatif sementara untuk dapatkan pulangan yang lebih baik?
Atau sanggupkah anda tunggu untuk jangkamasa lama dapat pulangan yang tinggi?
Kalau tak sanggup maka lebih baik anda melabur dalam dana yang kurang berisiko.
Kesimpulan
Kebanyakan orang tak faham tentang pelaburan unit trust ini memerlukan kesabaran dan tidak mudah panik.
Kena faham bezakan Unrealized Return dan Realized Return.
Walaupun pelaburan anda negatif belum bermaksud anda rugi selagi anda tak keluarkan duit anda.
Sekiranya anda ada duit lebihan pada masa ekonomi tengah down sebaiknya tambah pelaburan anda kerana ini merupakan peluang untuk anda mengumpulkan unit lebih banyak.
Anda juga kena faham bahawa ekonomi ini sentiasa ada turun dan naik. Ini adalah perkara biasa jadi jangan panik.
Jadi walaupun ekonomi turun tidak bermakna akan terus turun. Sampai masa nanti dia akan naik semula.
Ini yang dikatakan ekonomi yang sihat. Jadi pada masa ni lah peluang untuk anda membeli sebanyak mungkin aset dan tunggu sehingga ia kembali naik suatu hari nanti.
Oleh itu, benarkah duit pelaburan anda boleh hilang dalam unit trust?
Perkongsian yang sangat bagus. Terima kasih