Site Loader
Melabur bawah 30 tahun

Prefer reading this article in English version? Read it here.

Anda dah habis belajar. Bagus!

Atau anda baru sahaja dapat kerja. Tahniah!

Jadi apa yang harus anda lakukan sekarang? Kebanyakan graduan mesti memikirkan untuk membeli kereta dan rumah kerana ini merupakan keperluan.

Memang tak dapat dinafikan kereta dan rumah adalah keperluan setiap orang tetapi, ada lagi benda yang paling penting untuk anda fikirkan dan ambil tindakan sebelum anda membuat sebarang keputusan untuk membeli kereta dan rumah.

  • Pertama – Simpanan Kecemasan
  • Kedua – Bina Bajet Bulanan
  • Ketiga – Simpanan Persaraan
  • Keempat – Insurans Kesihatan / Medical Card

Kenapa nak buat benda ni awal-awal?

Secara ringkasnya, akan datang semua kos akan menjadi lebih mahal.

Harga segelas Milo ais di kedai mamak sekarang RM3.00 mungkin akan menjadi RM4.00 sehingga RM6.00 dalam 20-30 tahun dari sekarang jika mengambilkira kadar inflasi 3% setahun.

Bayangkan berapa harga makan tengahari anda di kedai mamak dalam 20-30 tahun lagi?

Begitu juga bagi simpanan persaraan. Semakin lama anda tangguh maka semakin tinggi kos yang anda perlu tanggung untuk capai simpanan persaraan yang mencukupi kelak.

Kebanyakan mereka yang berumur 30-40 tahun dan berpendapatan sederhana terasa berat untuk menyimpan dalam simpanan persaraan mereka.

Jadi jika anda berusia di bawah 30 tahun buat masa ini, inilah perkara penting yang perlu anda lakukan sebelum anda tandatangan perjanjian sewa beli rumah ataupun kereta anda.

Bina Simpanan Kecemasan Anda Segera

simpanan kecemasan faiq zimmer

Jangan abaikan simpanan kecemasan.

Anda tak akan tahu kepentingannya simpanan kecemasan ini sehingga anda benar-benar ada kecemasan.

Simpanan ini hanya dapat digunakan sekiranya terjadi sesuatu kepada anda yang memerlukan anda membuat pembayaran seperti kerosakan kereta, laptop anda rosak ataupun kos pembaikan rumah.

Mungkin anda mempunyai insurans kesihatan tetapi biar saya ceritakan pengalaman saya sendiri berkaitan insurans kesihatan.

Isteri saya telah dimasukkan ke hospital kerana masalah mengandung luar rahim yang menyebabkan tiub falopionya pecah dan berlaku pendarahan. Kos pembedahan adalah RM12,000.00 dan perlu dilakukan segera.

Selesai pembedahan doktor memberitahu saya yang isteri saya kehilangan sebanyak 2 liter darah dan mereka nyaris kehilangannya.

Bayangkan sekiranya saya membawanya ke hospital lain untuk mencari kos rawatan yang lebih murah ataupun saya tidak mempunyai wang untuk menanggung kos pembedahan pada waktu itu?

Mungkin saya akan kehilangannya dalam perjalanan ke hospital lain.

Saya dan isteri mempunyai insurans kesihatan tetapi polisi insurans kesihatan yang kami ambil tidak menanggung kos pembedahan yang disebabkan oleh komplikasi mengandung.

Syukur alhamdulillah kami mampu membayar kos rawatan menggunakan simpanan kecemasan yang telah kami bina sebelum ini lebih awal lagi.

Saya tak mampu menyimpan untuk simpanan kecemasan

Pasti akan ada masa dimana anda memerlukan perbelanjaan untuk kecemasan dan sekiranya anda tak bina simpanan ini lebih awal pasti akan ada risiko untuk anda meminjam.

Lepas tu anda kena bayar semula duit si pemberi pinjam. Kan?

Saya boleh gunakan kad kredit

Betul anda boleh gunakan kad kredit sekiranya ada. Tapi lepas tu kena bayar juga kad kredit tu kan? Siap bayar dengan faedah lagi sekiranya lambat bayar.

Jika anda gunakan duit simpanan kecemasan anda, anda hanya perlu bayar balik wang yang anda pinjam pada diri anda sahaja.

Saya gunakan simpanan kecemasan saya baiki kereta rosak

Lepas anda dah gunakan simpanan kecemasan anda ini, anda perlu mengisi semula simpanan ini kepada nilai yang asal secepat mungkin.

Misalnya anda mempunyai simpanan kecemasan berjumlah RM10,000.00 dan telah menggunakan RM1,000.00 untuk perbelanjaan kecemasan, anda perlu tambahkan jumlah yang anda telah guna tersebut semasa anda menerima gaji atau pendapatan anda pada bulan hadapan.

Masukkan nilai ini dalam bajet bulanan anda untuk bulan hadapan.

Sekiranya tak mampu untuk menambah RM1,000.00 sekali gus, memadai untuk menambah mengikut berapa yang anda mampu pada bulan tersebut.

Yang penting adalah anda perlu isikan semula simpanan ini secepat mungkin kerana anda tak tahu bila anda perlu gunakan simpanan kecemasan ini lagi pada masa akan datang.

Berapa jumlah simpanan kecemasan yang mencukupi?

Cuba bermula dengan RM1,000.00. Sekiranya belum mampu mulalah dengan RM500.00 dahulu sebagai permulaan.

Jumlah yang sebaiknya ada adalah dalam lingkungan 3 ke 6 bulan daripada jumlah pendapatan bulanan anda.

Dalam situasi dimana anda kehilangan pekerjaan misalnya, simpanan ini mampu membantu anda untuk meneruskan hidup dalam masa anda mencari pekerjaan yang baharu.

Ini dapat mengelakkan anda daripada berhutang.

Apabila telah mendapat pekerjaan yang baharu, perkara pertama anda harus lakukan adalah untuk mengisi semula simpanan kecemasan anda ini sehingga ke jumlah yang asal.

Dimana patut anda simpan untuk simpanan kecemasan?

ELAKKAN menyimpan simpanan kecemasan anda dalam dana pelaburan yang berisiko tinggi.

Anda patut simpan dalam dana yang rendah ataupun kurang berisiko dan dalam masa yang sama memberi kemudahan pengeluaran yang mudah.

Matlamat utama simpanan ini bukanlah untuk anda mengembangkan pelaburan anda tetapi sebagai persediaan untuk anda jikalau berlaku sesuatu kepada anda yang menyebabkan anda perlu menggunakan wang dengan segera.

Public Mutual ada menyediakan kemudahan dana khas untuk membuat simpanan kecemasan iaitu Dana e-Cash Deposit Emergency Reserve Account.

Dana ini adalah dana yang rendah risiko namun mampu memberi pulangan antara 2-3% setahun. Urusan pengeluaran dana ini juga mudah dan setiap pelaburan tidak dikenakan CAJ JUALAN!

Anda harus ingat yang simpanan kecemasan ini bukan bertujuan untuk anda membina kekayaan tetapi untuk kegunaan kecemasan dikala anda memerlukan.

Berikut merupakan perbandingan antara kadar pulangan dan kaedah pengeluaran dua jenis akaun simpanan bank dan Dana e-Cash Deposit Public Mutual:

Jenis AkaunKadar Purata Pulangan Tahunan (%)Kaedah Pengeluaran
Akaun simpanan bank0.1-1.5Mesin ATM
Dana e-Cash Deposit Public Mutual1.0-3.0Pindahan ke akaun simpanan bank

Kenapa saya sarankan simpan kecemasan dalam e-Cash Deposit?

Ini adalah antara sebab saya sarankan anda gunakan Dana e-Cash Deposit ini sebagai tabung simpanan kecemasan anda:

  • Pertama adalah dari kadar pulangan yang mampu anda terima lebih tinggi.
  • Kedua adalah akaun dana ini tidak menyediakan kad ATM untuk pelaburnya.

Ini bermakna ia dapat mengelakkan anda untuk menggunakan wang simpanan dalam akaun ini untuk perbelanjaan selain daripada kegunaan kecemasan anda.

Disamping itu juga dengan melabur kedalam dana ini dapat memberi faedah lain kepada anda antaranya seperti insurans perlindungan percuma secara berkelompok secara PERCUMA dan lain-lain lagi.

Anda boleh hubungi saya sekiranya anda ingin tahu lebih lanjut berkenaan dengan Dana e-Cash Deposit daripada Public Mutual ini.

Sebagai peringatan bahawa perbelanjaan pergi bercuti ataupun balik kampung berhari raya bukan dikategorikan sebagai perbelanjaan kecemasan.

Perbelanjaan ini seharusnya anda masukkan dalam senarai bajet bulanan anda yang mana kita akan bincangkan seterusnya.

Bina Bajet Perbelanjaan Bulanan

Buat bajet bulanan

Bajet bulanan sangat membantu bagi mengawal perbelanjaan bulanan anda setiap bulan.

Dengan menggunakan bajet bulanan setiap kali sebelum bulan baru bermula, anda akan nampak dengan lebih jelas tentang apa yang anda perlu belanjakan pada bulan tersebut dan apa yang dapat anda tangguhkan, sekiranya perlu.

Ini untuk memastikan yang dengan pendapatan yang anda terima pada bulan tersebut itu mencukupi untuk menampung anda sehingga menerima gaji seterusnya.

Dave Ramsey iaitu seorang pakar dalam mengurus perbelanjaan berkata:

“A budget is telling your money where to go instead of wondering where it went”

Dave ramsey

Maksud di atas adalah, “bajet adalah anda untuk memberitahu kemana wang anda perlu pergi sebelum ia menghilang entah kemana”.

Atas sebab itulah anda perlu belajar membina bajet bulanan anda untuk setiap bulan.

Sekiranya tidak anda tidak akan tahu kemana perginya wang yang anda belanjakan.

Menurut Dave Ramsey, belanjakan setiap RM1.00 yang anda perolehi daripada pendapatan bulanan anda ke dalam setiap item dalam bajet anda.

Inilah yang dimaksudkan oleh Dave Ramsey, iaitu sebelum membelanjakan wang pendapatan yang anda perolehi, setiap ringgit yang anda perolehi itu perlu diletakkan dahulu dalam mana-mana item berkaitan dalam bajet bulanan anda.

Inilah yang dikatakannya memberitahu wang anda kemana ia perlu pergi dahulu sebelum ia hilang entah kemana.

Dengan mengamalkan kaedah ini akan mengelakkan anda daripada berbelanja dengan berlebihan.

Anda akan lebih berhati-hati kerana jika anda berbelanja lebih daripada yang anda tetapkan dalam bajet anda, maka anda terpaksa memotong atau mengurangkan daripada item bajet yang lain.

Kebanyakan orang lebih cenderung untuk menyimpan andai ada baki daripada perbelanjaan bulanan mereka.

Oleh sebab itu kebanyakan mereka ini tidak mampu untuk membuat simpanan.

Bagaimana cara nak bajet untuk simpanan setiap bulan?

Sebaiknya, cuba untuk tentukan kategori perbelanjaan anda. Asingkan setiap perbelanjaan mengikut kategori berikut:

KategoriBahagian (%)
Keperluan (Makanan, pakaian, utiliti, dll.)50
Kemahuan (Melancong, Balik kampung, dll.)30
Simpanan / Hutang (Unit trust, PTPTN, dll.)20
Jumlah100

Anda bebas untuk mengubah kadar peratusan mengikut keadaan kewangan semasa anda.

Pastikan anda mengasingkan bahagian simpanan dan hutang terlebih dahulu sebelum membuat sebarang perbelanjaan.

Anda juga boleh gunakan Personal Monthly Budget PDF template yang saya bina sendiri. Anda hanya perlu daftar alamat email anda diruang kanan atas blog ini dan muat turun file PDF yang saya hantar ke dalam email anda selepas anda mendaftar.

Mula Menyimpan Untuk Persaraan

compounding interest

Sekiranya anda mula melabur dalam dana unit trust pada umur 25 tahun hanya sebanyak RM100.00 sebulan, mencecah umur anda 60 tahun, jumlah pelaburan anda mampu mencapai sebanyak RM342,589.35 (andai dana mampu memberi kadar purata pulangan sebanyak 10% setahun). Lihat gambarajah dibawah.

compounding interest for 35 years

Dengan hanya melabur sebanyak RM100.00 sahaja setiap bulan secara konsisten selama 35 tahun, anda perolehi RM300,589.35 jumlah pulangan. Itu baru RM100.00 sebulan.

Anda rasa berapakah yang mampu anda perolehi sekiranya melabur RM300.00 sebulan selama 35 tahun? Rujuk gambarajah dibawah (Kotak biru). Nampak tak RM1 juta?

Faiq zimmer compounding interest comparison table

Artikel berkaitan:

Pada awal artikel ini saya ada katakan yang jika anda tangguh masa anda untuk mula melabur, kos anda akan menjadi lebih tinggi kan?

Apa yang dimaksudkan kos menjadi lebih tinggi? Sila rujuk gambarajah di atas dalam kotak berwarna merah.

Andai kata anda mula melabur pada usia anda 35 tahun.

Anda boleh lihat sendiri bahawa walaupun anda melabur RM300.00 setiap bulan dalam dana yang mampu memberi pulangan purata sebanyak 12% setahun pun anda hanya mampu untuk mendapat sebanyak RM510,661.97 sahaja pada usia anda 60 tahun.

Ini bermakna anda perlu melabur pada kadar yang lebih tinggi berbanding RM300.00 setiap bulan untuk mencapai RM1 juta.

Lebih tepatnya adalah RM600.00 sebulan (Rujuk gambarajah di bawah).

compounding interest 25 years

Walaubagaimanapun, anda tak perlu susah hati kerana anda masih beruntung berbanding mereka yang langsung tidak membuat sebarang simpanan.

Jika dibandingkan jumlah modal yang anda laburkan (Total Principal), anda yang bermula pada usia 35 tahun perlu menggunakan RM180,000.00 untuk mencapai RM1 juta.

Berbanding jika mula pada usia 25 tahun hanya perlu modal sebanyak RM48,000.00 untuk mencapai RM1 juta.

Sekarang anda percaya ke tak yang kos untuk melabur akan menjadi lebih tinggi sekiranya anda lengahkan?

Semakin lama anda lengahkan maka semakin tinggi kos yang anda perlu tanggung untuk capai simpanan persaraan yang anda perlukan.

Inilah keajaiban faedah berganda atau dalam English disebut “Compound Interest“.

Compound interest is the eighth wonder of the world, he who understands it, earns it; he who doesn’t, pays for it.

Albert einstein

Artikel berkaitan:

Oleh itu, sekiranya anda berusia bawah 30 tahun, anda harus mulakan untuk membuat simpanan persaraan anda segera SELEPAS simpanan kecemasan anda mencukupi.

Perlu buat simpanan kecemasan dahulu sebelum buat simpanan persaraan?

Ya! Betul.

Simpanan kecemasan adalah simpanan yang amat penting untuk anda mulakan terlebih dahulu sekiranya anda tak mampu untuk menyimpan keduanya.

Ini kerana, sekiranya anda mula melabur untuk simpanan persaraan terlebih dahulu tanpa simpanan kecemasan yang mencukupi, andai sesuatu yang tidak diingini berlaku kepada anda yang memerlukan kos segera, anda kemungkinan besar akan meminjam wang daripada orang lain, bank, kad kredit atau mengeluarkan wang simpanan dalam simpanan kecemasan anda.

Jika berlaku perkara sedemikian, anda akan menggunakan semua simpanan kecemasan anda untuk membayar pinjaman anda.

Atas sebab itu simpanan kecemasan adalah tip pertama dan utama untuk anda lakukan.

Dapatkan Insurans Rawatan/Medical Card

insurans kesihatan

Ini merupakan keperluan bagi anda!

Anda takkan tahu bila masa anda akan perlukan rawatan oleh itu anda harus bersedia lebih awal.

Walaupun sekiranya anda adalah seorang pekerja di sektor kerajaan sekalipun, anda masih perlu untuk membayar separuh daripada kos rawatan anda terutamanya yang melibatkan pembedahan besar di hospital kerajaan.

Anda mungkin mampu membayar kos rawatan anda sekiranya simpanan kecemasan anda berjumlah dua hingga tiga ratus ribu namun selepas daripada itu anda perlu juga untuk mengisi semula simpanan kecemasan anda.

Jika anda gunakan medical card anda, simpanan kecemasan anda tidak akan berkurang.

Bagaimana cara memilih insurans kesihatan terbaik?

Carilah Medical Card yang mampu menanggung kos rawatan bagi pelbagai penyakit dengan kos yang anda mampu.

Untuk permulaan, jumlah tanggungan sekitar RM100,000.00 sehingga RM150,000.00 adalah memadai.

Kebanyakan insurans buat masa ini memberi anda faedah dari segi simpanan atau pelaburan.

Namun anda perlu tahu bahawa pelaburan melalui insurans ini kurang sesuai untuk anda jadikan pelaburan bagi persaraan anda.

Jadikan insurans sebagai perlindungan bagi diri anda sekiranya anda jatuh sakit dan bukannya sebagai pelaburan yang untuk simpanan anda.

Cuba untuk mendapatkan insurans kesihatan semasa usia anda masih muda dan masih sihat.

Ini kerana sekiranya anda telah mempunyai penyakit sebelum mengambil insurans, pihak insurans takkan menanggung kos rawatan untuk penyakit yang sedia ada.

Kesimpulan

Ini merupakan perkara penting yang perlu anda lakukan sekiranya anda berusia 30 tahun ke bawah.

Pertama ialah bina simpanan kecemasan.

Kedua adalah bina bajet bulanan.

Ketiga adalah bina simpanan persaraan sekiranya simpanan kecemasan anda sudah mencukupi.

Terakhir adalah dapatkan insurans kesihatan ataupun Medical Card.

Mungkin anda merasakan yang anda mampu untuk mulakan empat perkara ini dikemudian hari kerana anda fikirkan pada masa akan datang gaji bulanan anda akan meningkat ataupun pekerjaan anda selepas ini akan lebih baik.

Tetapi kenaikan gaji dan pekerjaan ini semua adalah diluar kawalan anda.

Sudah tentu anda akan dapat kenaikan gaji ataupun pekerjaan yang lebih baik pada masa akan datang.

Namun sekiranya mula lebih awal mampu memberi lebih kebaikan kepada diri anda kenapa anda nak tangguhkan?

Berhenti mengharapkan keajaiban akan berlaku kepada diri anda dengan harapan semua akan jadi baik dengan sendirinya suatu hari nanti.

Daripada cuba mengubah sesuatu yang anda tak dapat kawal, apa kata anda cuba ubah benda yang anda mampu untuk kawal sendiri.

Inikan masa depan anda maka bertindaklah sekarang.

Post Author: Faiq

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *