Site Loader

Syarat Pelaburan Yang Anda Perlu Tahu Sebelum Melabur

“Labur RM1,700 setiap minggu boleh dapat untung tetap RM1,700. You just cari lagi 3 orang masuk bawah you, nanti ini 3 orang masing-masing cari lagi 3 orang so lama-lama nanti you dapat lagi besar. Saya dah lama melabur setiap minggu dapat untung”.

Inilah ayat penyuntik semangat yang kebiasaannya akan kita dengar sekiranya ada antara kenalan kita yang mempromosi satu bentuk pelaburan baru.

Bagi mereka yang ada sifat tamak akan menggunakan alasan “ingin mengubah taraf hidup”, “tidak perlu lagi bekerja makan gaji” dan ingin mencari jalan singkat untuk berjaya amat mudah terpedaya dengan ayat ini.

Imaginasi tentang masa depan berlatarbelakangkan banglo dan kereta mewah seakan menutup latar belakang sebenar perjalanan berliku yang harus dilalui untuk menjadi seorang yang berjaya.

Bagi mereka yang ada pengetahuan tentang mekanisma pelaburan yang sah selalunya akan tehindar daripada terjebak sama.

Apa yang anda perlu tahu sebenarnya adalah pelaburan yang sah perlu memenuhi 6 syarat ataupun kriteria di bawah ini untuk beroperasi secara sah di Malaysia.

Walau hanya tanpa salah satu daripada syarat ini maka segala urusan pelaburan yang dijalankan adalah tidak sah dan pihak berkuasa boleh mengambil tindakan yang keras kepada mereka yang menjalankan skim pelaburan ini.

Berikut merupakan 6 syarat wajib yang perlu ada untuk menjalankan skim pelaburan yang sah di Malaysia:

Lesen Perniagaan Syarikat Pengurusan Pelaburan

Sebarang perniagaan perlu mempunyai lesen perniagaan yang sah yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan ataupun suruhanjaya.

Perniagaan yang melibatkan skim pelaburan hanya boleh didaftarkan dalam Suruhanjaya Syarikat Malaysia sahaja.

Dalam lesen perniagaan ada dinyatakan nama syarikat perniagaan, alamat premis, tarikh perniagaan didaftarkan, tempoh sah laku lesen dan juga jenis perniagaan yang dijalankan.

Jika sebarang maklumat syarikat yang terdapat dalam lesen ini bercanggahan dengan jenis perniagaan yang dijalankan maka syarikat adalah tidak sah untuk beroperasi.

Perniagaan syarikat juga perlu mengikut skop perniagaan yang didaftarkan dalam lesen syarikat ini. Jika perniagaan yang dijalankan adalah diluar bidang yang didaftarkan, syarikat ini layak untuk diambil tindakan kerana tidak menjalankan perniagaan seperti dalam lesen perniagaan.

Syarikat pelaburan semestinya akan menyatakan jenis perniagaan pelaburan di dalam lesen perniagaan mereka.

Terdapat juga kes pernah FZ jumpa di mana “syarikat pelaburan” menggunakan lesen syarikat lain dengan alasan bahawa “syarikat pelaburan” ini bernaung di bawah lesen syarikat tersebut untuk melakukan urus-niaga.

Ini terang-terang adalah salah dan anda harus mengelak untuk berurus-niaga dengan syarikat ini.

Prospektus Dana Pelaburan

Dalam pelaburan, syarikat yang menguruskan dana itu perlu menyediakan prospektus dana pelaburan bagi rujukan para pelabur. Di sini akan ada dinyatakan maklumat jenis perniagaan syarikat dan maklumat dana pelaburan yang dijalankan.

Ini adalah contoh prospektus dana pelaburan yang dikeluarkan oleh Public Mutual.

Di dalam prospektus dana akan ada dinyatakan juga secara terperinci tentang semua pelaburan dana tersebut ke mana-mana syarikat. Ini termasuk nama syarikat, objektif dana, strategi pelaburan dana, nama pengurus dana dan banyak lagi.

Prospektus ini akan diedarkan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebagai panduan tentang pelaburan yang akan dijalankan.

Ini membuktikan bahawa setiap pelaburan wajib mengeluarkan prospektus dana pelaburan dan kegagalan menunjukkan prospektus ini adalah tanda bahawa pelaburan itu bukan yang di daftarkan.

Laporan Tahunan Dana

Setiap tahun kewangan berakhir, syarikat pengurusan dana akan mengeluarkan laporan tahunan bagi setiap dana.

Di sini pelabur dapat melihat berapa jumlah pelaburan dana tersebut ke dalam ekuiti syarikat. Ini menunjukkan prestasi dana tersebut sepanjang setahun dengan perbandingan prestasi pada tahun sebelumnya.

Di dalam laporan tahunan ini juga akan ada dilampirkan laporan daripada Pengurus Dana, Pemegang Amanah dan bagi dana syariah akan dilampirkan juga laporan Penasihat Syariah.

Jumlah aset, liabiliti, keuntungan kasar, keuntungan bersih, hutang, perbelanjaan, aliran tunai dan penyata kewangan ada juga dinyatakan di dalam laporan tahunan ini.

Laporan tahunan ini wajib dikeluarkan oleh pengurus dana setiap suku tahun, setengah tahun dan setahun. Ketiadaan laporan ini membuktikan bahawa tiada sebarang urus niaga yang telah dijalankan.

Contoh laporan tahunan yang dikeluarkan bagi setiap dana.

Pemegang Amanah

Pemegang amanah dilantik untuk memegang wang pelabur. Pemegang amanah ini menjalankan tugas bagi menjaga kepentingan pelabur agar aset yang dilaburkan tidak akan dilaburkan dengan pelaburan yang bercanggah dengan syarat yang dinyatakan di dalam prospektus dana sebelum ini.

Sebarang pelaburan yang bakal dilakukan oleh pengurus dana ini harus diteliti dan mendapat kelulusan daripada pemegang amanah sebelum proses pemindahan wang dilakukan.

Antara pemegang amanah yang terdapat di Malaysia adalah Amanah Raya Berhad dan Maybank Trustees Berhad.

Kebiasaannya, nama pemegang amanah ini akan dinyatakan di dalam prospektus dana.

Berlainan pula ceritanya jika pelaburan yang tidak berdaftar di mana wang pelaburan hanya di bayar kepada individu atau pun syarikat.

Wang pelaburan sepatutnya dimasukkan ke dalam akaun dana melalui bank dan bukannya melalui individu ataupun akaun individu mahupun akaun syarikat.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia

Suruhanjaya sekuriti Malaysia adalah sebuah badan yang berkuasa dan bertanggung-jawab menyelia sebarang yang melibatkan skim pelaburan di Malaysia.

Antara peranan lain yang menjadi fungsi badan ini adalah sebagai badan yang melesenkan dan menyelia semua individu dan syarikat berlesen yang menguruskan pelaburan.

Sebarang pelaburan yang tidak didaftarkan dalam Suruhanjaya Sekuriti Malaysia adalah dianggap tidak sah dan dapat di ambil tindakan undang-undang mengikut akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Sama seperti lesen syarikat, terdapat “syarikat pelaburan” yang menggunakan lesen syarikat lain dengan alasan sama iaitu bernaung di bawah syarikat yang mempunyai lesen.

Jika anda terjumpa kes begini sebaiknya anda elakkan daripada melabur dalam pelaburan ini.

Wakil Syarikat Pelaburan

Jika kesemua syarat di atas telah dipenuhi maka perkara terakhir yang anda perlu periksa adalah wakil syarikat pelaburan tersebut iaitu individu yang mempromosikan atau menawarkan pelaburan tersebut.

Sebarang bentuk skim pelaburan yang diurus oleh syarikat pelaburan ini wajib diedarkan oleh individu yang mempunyai lesen.

Lesen individu ini pula perlu diperbaharui setiap tahun sebagai syarat untuk memastikan individu ini aktif.

Mengikut akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebarang individu yang cuba mengedarkan sebarang bentuk skim pelaburan tanpa lesen yang sah dapat didakwa dan dikenakan tindakan.

Perlu anda tahu bahawa lesen wakil ini tidak dikeluarkan oleh syarikat pelaburan tersebut tetapi agensi yang menguatkuasa skim pelaburan di Malaysia.

Antara agensi yang mengeluarkan lesen bagi individu ini selain daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia antaranya adalah Federation of Investment Managers Malaysia bagi seorang Unit Trust Consultant.

Unit Trust Consultant ataupun Perunding Unit Amanah ini adalah individu yang dibenarkan untuk menjual, mengedar dan mempromosikan pelaburan dalam bentuk unit amanah di Malaysia.

Individu ini wajib menunjukkan kad kuasa yang sah kepada bakal pelanggan semasa proses promosi.

Sekiranya individu ini gagal untuk menunjukkan kad kuasa kepada bakal pelanggan mereka maka bakal pelanggan berhak untuk menolak sebagai langkah keselamatan pelanggan. 

Kesimpulan

Apa pun bentuk pelaburan yang tidak memenuhi kelima-lima syarat di atas adalah dianggap sebagai pelaburan yang tidak sah di Malaysia. Sebarang individu yang menjual, mengedar atau mempromosi skim pelaburan perlu mempunyai lesen sebagai wakil syarikat pelaburan yang sah.

Percayalah bahawa pelaburan skim-skim pelaburan cepat kaya tidak akan dapat memenuhi semua syarat-syarat tersebut kerana jika diamati sebenarnya tiada sebarang perniagaan mahupun pelaburan yang dijalankan oleh skim ini melainkan hanya wang yang berpindah tangan dari orang bawah ke atas.

Jumlah keuntungan yang mampu dicapai juga adalah tidak munasabah kerana tidak dapat dipastikan dari mana datang keuntungan yang besar jika tiada sebarang perniagaan dilakukan?

Kata kunci yang harus anda ingat sampai bila-bila adalah “untung besar yang tetap”.

Ini adalah perkataan yang selalunya mampu menutup mata orang ramai sehingga lena dibuai mimpi kemewahan dan lupa akan risiko yang bakal ditanggung.

Tiada sebarang pelaburan di dalam Malaysia mahupun dunia ini yang mampu memberikan untung besar yang tetap harian, mingguan, bulanan mahupun tahunan.

Jika anda mendengar kata kunci tersebut sebaiknya anda menjauhkan diri dan mengelak daripada menjadi mangsa. 

Semoga penulisan saya ini sedikit sebanyak dapat membantu memberi kesedaran kepada orang ramai agar dapat mengelakkan diri dari terjebak ke dalam skim-skim pelaburan yang tidak sah dan tumbuh bagai cendawan sekarang ini. 

Saya mohon agar sesiapa yang membaca artikel ini dapat mengongsikan artikel ini kepada lebih ramai orang dan moga  bermanfaat kepada mereka. 

Post Author: Faiq

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *